KISAH ASHABUL KAHFI (PENGHUNI GUA)
Sudah menjadi adat yang lazim bagi
penduduk Upsus merayakan suatu hariraya, dimana mereka sama-sama menghiasi
berhala-berhala dan patung-patung, lalu mereka berdiri disekitar
patung-patung itu dengan riang gembira, sambil memuja-muja dan
menyembahnya, bahkan memberikan korban-korban yang berharga kepada
patung-patung dan berhala-berhala itu. Suatu adat kebiasaan yang tidak
dapat dirobah dan dilanggar oleh siapa juga.
Tetapi ditengah-tengah golongan penduduk yang ramai itu, ada seorang pemuda
termasuk golongan bangsawan dan mulia, tampaknya tidak begitu gembira
ditengah-tengah semua orang yang sedang bergembira itu. Dia termenung
seorang diri, jiwanya tampak gelisah.
Ketika semua orang sudah sama-sama menyembah kepada berhala-berhala yang
dirayakan sebesar-besarnya itu, pemuda itu tampak keengganannya untuk
menundukkan kepalanya. Tampak pula keraguan dan kebingungan hatinya untuk
turut menyembah dan bersujud kepada batu-batu berhias itu.
Keraguan dan kebingungannya, segera berubah menjadi ketetapan hati untuk
menyanggah apa yang dilihatnya itu. Akal dan fikirannya berontak rupanya,
sehingga dia terpaksa keluar dari barisan orang ramai dengan diam-diam dan
sembunyi-sembunyi,berjalan meninggalkan tempat perayaan besar itu untuk
menjauhkan diri. Akhirnya dia berhenti dibawah sebatang pokok kayu, lalu
melepaskan kelelahan fikirannya. Mukanya tampak merah padam, menunjukkan
jiwanya yang sedang berontak keras.
Perasaan yang demikian itu rupanya tidak timbul dalam jiwa pemuda itu saja.
Tidak lama sesudah dia tertunduk dibawah pokok kayu itu, ia disusul oleh
seorang pemuda lain yang sebaya dengannya, sama-sama bangsawan kaumnya. Dia
pun kerana jiwanya memberontak, tidak sudi lagi memuja dan memuji-muji batu
itu. Dua orang pemuda ini segera disusul oleh seorang pemuda lainnya
berturut-turut, sehingga mereka sekarang berjumlah tujuh orang.
Ketujuh pemuda ini segera berkenalan, mereka bercakap-cakap mengemukakan
pendirian dan fikiran masing-masing. Ternyata kesemuanya mempunyai pendapat
yang sama, fikiran yang bulat, sekalipun pada mulanya mereka tidak
kenal-mengenal.
Mereka itu sepakat dan berjanji, tidak akan menyembah dan memuja
patung-patung itu lagi, sebagai umumnya bangsa mereka sendiri. Lalu mereka
menerawang ke alam yang luas, ke langit yang biru, ke matahari yang sedang
bersinar, ke gurun yang luas tidak berpinggir itu.
Mereka berkeyakinan bahawa kesemuanya itu tentu ada yang menjadikan dan
menguasai, iaitu Allah s.w.t. "Ya, Allah, inilah yang harus kita
sembah," kata mereka.
Mereka bersumpah akan menyembah Allah dan akan memegang teguh agama mereka
ini. Jiwa mereka mulai tenang kembali dan mereka sepakat pula akan
menyembunyikan apa yang terkandung dalam jiwanya masing-masing itu,
terhadap bangsanya yang masih sesat dan fanatik, takut kalau-kalau hal itu
diketahui rajanya, yang pasti akan memaksa mereka untuk kembali ke agama
yang sesat itu. Hal ini tak dapat mereka pertahankan, kerana mereka tidak
ramai dan tidak mungkin kuat untuk melawannya.
Demikianlah beberapa waktu lamanya, mereka hidup diantara bangsanya, ke
hulu sama ke hulu, ke mudik sama ke mudik, namun dalam jiwanya bertentangan
seratus peratus. Tetapi bila pemuda-pemuda itu sedang seorang diri,
masing-masing bersembahyang menyembah Allah s.w.t. berdoa dan bermunajat
kepadaNya.
Pada suatu malam, ketujuh pemuda ini berkumpul disuatu tempat. Dalam
pertemuan itu, salah seorang diantara mereka lalu berkata dengan berbisik:
"Saudara-saudara, kelmarin saya mendengar khabar yang amat
mengecewakan kita, bila benar orang yang membawa khabar ini, iaitu ada persiapan
untuk merusakkan agama kita, serta membahayakan jiwa kita. Saya dengar,
bahawa raja sudah mengetahui akan hal kita ini. Bukan main marahnya setelah
dia mengetahui. Raja telah memutuskan akan menghukum kita dengan hukuman
yang seberat-beratnya, bila kita tidak kembali dari agama kita ini. Saya
khuatir sekali kerana menurut khabar itu juga, bahawa tindakan kejam
terhadap kita itu akan dijalankan besok pagi dengan memanggil kita semua.
Kalau kita benar-benar hadir dihadapan raja, sudah pasti kita akan mengalami
hal-hal yang tidak diinginkan. Marilah kita fikirkan bersama apa yang harus
kita jalankan."
Mendengar keterangan ini, lalu berkata pula yang lainnya: "Khabar ini
sudah lama pula saya mendengarnya. Mula-mula saya kira hanya khabar bohong
saja. Tetapi tanda-tanda semuanya
menunjukkan bahawa khabar itu benar-benar adanya. Nyata sudah, bahawa kita
tidak akan dapat meninggalkan agama kita, sekalipun apa juga yang akan
terjadi. Matahari timbul setiap pagi dan tenggelam setiap petang, menjadi
bukti adanya Tuhan yang kita sembah. Segala yang ada ini menjadi bukti
kebenaran yang kita sembah."
Sebelum dapat memutuskan apa-apa yang harus mereka lakukan, tiba-tiba
mereka sudah didatangi pengawal diraja. Ketujuh pemuda itu digiring
mengadap raja, diceraikan dari keluarganya masing-masing. Raja lalu berkata
kepada mereka: "Kamu sudah mencuba menyembunyikan apa yang terkandung
dalam hatimu masing-masing. Tetapi apa yang kamu sembunyikan itu sudah ku
ketahui semuanya, baik yang lahir, mahupun yang batin. Kamu telah
melemparkan agama raja dan agama rakyat, lalu menganut agama baru yang
tidak ku ketahui bagaimana cara datangnya kepadamu.
"Aku mahu menghukum kalian dengan hukuman yang seberat-beratnya.
Tetapi hukuman ini ku tangguhkan, memandang kehormatan keluarga dan
kebangsawananmu sekalian.
"Aku memberi tempoh kepadamu sekalian untuk berfikir: Kamu harus
kembali ke agama yang lama, iaitu agama raja dan agama rakyat, atau kamu
akan dilihat orang ramai untuk digantung, dipenggal lehermu dan dibunuh
mati."
Kepada masing-masing pemuda yang tujuh orang itu, diberikan Allah hati yang
tetap, keimanan yang teguh; mereka lalu menjawab: "Ya raja, kami
menyembah Tuhan kami ini bukan dengan meniru, tetapi sebagai penyelidikan
dan pemikiran kami yang sedalam-dalamnya. Adapun orang ramai yang menyembah
patung-patung itu adalah semata-mata dengan meniru saja, tidak dengan
menjalankan akal dan fikirannya sedikit juga. Kalau kami kembali menyembah
agama mereka, bererti kami menipu diri sendiri dan menipu raja pula. Sebab
itu kami akan tetap memegang teguh agama kami ini, terserahlah kepadamu
untuk menjalankan tindakan apa saja yang engkau kehendaki."
Raja lalu menjawab: "Janganlah kamu menjawab sekarang. Pulanglah
dahulu, besok pagi datang lagi menghadap. Pilihlah salah satu di antara dua
hal yang sudah ku kemukakan itu. Terserah kepadamulah untuk
menentukannya."
Di saat itu juga mereka lalu bermusyawarah di salah suatu tempat yang agak
jauh dari kota. Salah seorang lalu berkata: "Raja memang sudah tetap
dengan keputusannya, kita pun sudah tetap pula dengan keputusan kita, iaitu
dua putusan yang bertentangan. Kalau kita datang lagi esok, bererti kita
menyerahkan jiwa kita untuk dicabut. Sebab itu guna mempertahankan agama
kita marilah kita menyembunyikan diri dalam gua yang terletak di gunung
itu. Sekalipun gua itu sempit dan gelap keadaannya, tetapi iman dapat
melapangkan dada dan menenangi fikiran kita. Sebaliknya kita berada di alam
yang lapang dan ditenangi oleh matahari, kita tidak merdeka beragama dan
menyembah Tuhan kita. Marilah kita berhijrah ke sana dengan agama dan
kepercayaan kita. Apa gunanya kita hidup di sini, dimana kita dipaksa
beragama yang tidak sama dengan fikiran kita sendiri !"
Ketika itu juga mereka bersiap menyediakan bekalannya masing-masing, lalu
berangkat meninggalkan kampung halaman dan keluarga masing-masing, menuju
ke gunung yang jauh letaknya, ke gua sempit di tengah hutan. Mereka pergi
tanpa senjata dan pengawal. Untung di tengah jalan mereka disusul oleh
seekor anjing kepunyaan salah seorang di antara mereka. Anjing inilah yang
menjadi penunjuk jalan menuju ke gua yang terpencil itu.
Setelah mereka memasuki gua itu, anjing itu tetap berdiri, di muka gua,
berjaga dengan merentangkan kedua kakinya.
Di tepi gua itu mereka temui buah-buahan, lalu dimakannya dan ada pula
sedikit air, lalu diminumnya. Setelah itu mereka duduk melepaskan lelahnya,
setelah lama berjalan, mendaki dan menurun. Baru saja mereka sama-sama
merebahkan dirinya untuk menenangkan perasaan letihnya, tiba-tiba mereka
itu semuanya tertidur senyenyak-nyenyaknya.
Malam berganti siang, siang pun berganti malam, tahun berganti tahun dan
abad berganti abad, sedang pemuda-pemuda itu tetap tidur dengan nyenyaknya.
Mereka tidak mengetahui samasekali akan penggantian malam dengan siang,
penggantian tahun, penggantian musim dan penggantian abad. Hujan dan angin
taufan pun tidak mereka ketahui, begitu jua guruh dan petir tidak mereka
dengar.
Dengan takdir Allah, jalannya matahari agak membelok sedikit, sehingga
tepat di pintu gua tempat mereka bersembunyi itu. Dengan keadaan cahaya
matahari yang sangat terik itu, mereka terbangun.
Tiga ratus sembilan tahun lamanya mereka tidur. Di kala terbangun itu
keadaan mereka sudah jauh berubah. Mereka merasakan lapar yang bukan
kepalang hebatnya, tetapi masing masing tidak mengetahui berapa lamanya
mereka tertidur itu.
Salah seorang lalu berkata: "Saya menduga lama benar tidur kita ini.
Cuba kamu katakan berapa lamakah gerangan?"
Seorang lagi lalu menjawab: "Berdasarkan letihnya badan dan laparnya
perut kita, maka saya kira kita sekalian tertidur sehari lamanya."
Berkata pula orang yang ketiga: "Kita mulai tidur di waktu pagi dan
itu matahari masih belum terbenam. Kalau begitu kita tidur hanya setengah
hari sahaja."
Berkata pula yang keempat: "Apa gunanya kita bertengkar tentang
lamanya tidur. Tuhanlah yang lebih mengetahui berapa lamanya kita tidur.
Tetapi kerana saya terlalu lapar, sebab tidak makan dahulu sebelum
berangkat, maka siapakah di antara kita ini yang mahu pergi ke kota (pasar)
untuk membeli makanan? Inilah wangnya; tetapi harus berhati-hati jangan
sampai diketahui orang atau raja, bahawa kita berada dalam gua ini, sebab
sudah pasti raja dengan kakitangannya sedang mencari kita dimana
mana."
Salah seorang dari mereka lalu keluar menuju ke pasar mencari makanan,
dengan perasaan khuatir dan takut, akhirnya sampailah dia ke dalam kota
Upsus, iaitu negerinya sendiri. Alangkah hairannya ia bahawa negeri itu
benar-benar negeri Upsus. Tetapi segala pemandangan yang dilihatnya berubah
semuanya. Berubah tanda tandanya, berubah bentuk rumah dan
gedung-gedungnya. Banyak pula dilihatnya bekas gedung-gedung yang sudah tua
yang sudah runtuh. Tiap-tiap orang lalu lalang diperhatikannya, seorang pun
tidak ada yang dikenalinya. Dia berkata dalam hatinya: "Negeri ini
seakan-akan negeri kami sendiri tetapi penduduknya bukanlah bangsa kami
sendiri, jauh berbeza keadaan mereka ini."
Dia berjalan terpinga pinga, makin bertambah banyak juga tolehnya ke kiri
dan ke kanan. Nyata kebimbangan dalam setiap langkahnya, sehingga setiap
orang yang melihat kepadanya, dapat mengetahui bahawa dia adalah orang
asing yang baru sekali melalui negeri ini. Salah seorang penduduk yang
melihat akan keadaannya, lalu bertanya kepadanya: "Apakah engkau orang
asing di negeri ini? Dari manakah asalmu dan apa yang sedang menggoda
fikiranmu? Siapakah yang sedang kau cari?"
Mendengar pertanyaan itu, dia lalu menjawab: "Saya bukan orang asing.
Saya sedang mencari makanan untuk saya beli, di manakah tempat orang
menjual makanan?"
Orang itupun lalu membawanya ke tempat orang menjual makanan. Makanan
diambilnya dan penghuni gua ini pun mengeluarkan wang yang ada dalam
sakunya. Alangkah terkejut sipenjual makanan itu, setelah dilihatnya
matawang yang dibayarkan pemuda itu, adalah matawang lama, yang beredar
tiga abad yang silam, yang sudah tidak laku lagi di saat itu. Sipenjual
makanan itu mengira, bahawa pemuda itu pasti mendapat barang pendaman dan
pasti fikirannya bahawa selain matawang yang dilihatnya itu tentu ada
banyak lagi harta kekayaan lainnya. Orang ramai yang sama melihat matawang
itupun berkerumun melingkari pemuda itu. Mereka ingin tahu di mana pemuda
itu menyimpan hartabenda pendaman itu.
Dengan rasa tercengang dan penuh hairan akan maksud mereka, pemuda gua itu
lalu berkata: "Saya bukan mendapat barang pendaman sebagai yang kamu
sangkakan, wang ini adalah wang yang kudapat dari temanku kelmarin. Dengan
wang ini saya berniat untuk membeli makanan. Kenapa kamu merasa terkejut
melihat wangku ini? Kenapa kamu menyangka yang bukan-bukan terhadap
diriku?"
Pemuda gua itu segera berpaling hendak melarikan diri, kerana takut akan
terbuka rahsia teman-temannya yang sedang bersembunyi, menyembunyikan diri
dari tangkapan raja negeri itu.
Tetapi orang ramai menghalangnya. Dengan kata-kata yang sopan-santun,
mereka ingin mendengarkan cerita selanjutnya.
Dalam percakapan selanjutnya, maka terbuktilah kepada orang ramai itu,
bahawa pemuda ini adalah pemuda yang lari dari kepungan raja pada tiga abad
yang silam. Mereka mengetahui akan peristiwa itu, dari cerita yang telah
masyhur dan diketahui orang ramai. Larinya pemuda-pemuda itu kerana tidak
sudi menjual agamanya kepada raja yang ganas, yang memaksa mereka untuk
menyembah batu.
Salah seorang di antara mereka itu berkata kepada pemuda itu:
"Janganlah engkau khuatir kepada raja ganas yang engkau katakan tadi.
Raja itu sudah mati pada tiga abad yang silam. Raja yang memerintah
sekarang ini, adalah seorang raja yang mukmin dan baik hati. Raja kami yang
sekarang ini orang beriman seperti yang kamu imani. Di manakah
teman-temanmu yang lainnya? Bawalah mereka ke mari semuanya "
Barulah pemuda itu insaf akan apa sebenarnya yang sudah terjadi. Dengan
ketenangan yang amat jelas serta dengan alasan dan bukti-bukti yang cukup
terang, maka terbuktilah bahawa mereka berada dalam gua bukan semalam atau
setengah hari, tetapi sudah tiga abad lamanya. Segera pemuda itu minta izin
untuk memberitahukan teman-temannya yang masih bersembunyi dalam gua, agar
keluar dari persembunyiannya dan menerangkan kepada penduduk negeri itu
akan keadaan yang sebenarnya; apalagi mereka sedang menunggu dengan
kelaparan dalam gua, serta ingin mengetahui keadaan di luar gua.
Laporan peristiwa ini segera sampai kepada raja yang soleh, yang sedang
berkuasa di negeri itu. Raja sendiri tampil turut menyambut pemuda-pemuda
beriwayat itu dari dalam gua tempat persembunyian mereka. Raja pun ingin
mengetahui akan riwayat dan wajah mereka, selama ini mereka senantiasa
menjadi bualan orang ramai saja.
Setelah mereka keluar dari gua itu, mereka disambut raja dan penduduk
negeri. Raja membawa mereka ke dalam istana dan diberinya tempat di istana
yang indah itu. Para pemuda tadi lalu berkata kepada raja: "Kami ini
sudah tidak mengharap hidup yang lebih panjang lagi, kerana kami sudah
melewati beberapa keturunan dan kesemuanya telah meninggal dunia, bahkan
negeri dan gedung-gedung besar yang dahulu pun sudah runtuh semuanya; yang
kami lihat sekarang ini adalah serba baru. Kami pun sudah puas melihat raja
dan penduduk yang hidup di negeri ini sudah sama-sama beriman kepada
Allah."
Para pemuda itu lalu bersujud dan berdoa ke hadhrat Allah agar menurunkan
rahmatNya dan agar Allah mengizinkan mereka pulang ke rahmatullah. Tidak
lama kemudian sesudah mengucapkan doa itu mereka lalu menghembuskan
nafasnya yang terakhir, dengan tenang dan tenteram.
Keadaan dan kejadian itu, menjadi dasar yang kuat sekali bagi mereka untuk
tetap iman dan tunduk kepada Allah, Tuhan yang Maha Kuasa. Mereka makin
percaya bahawa janji Allah itu benar semuanya, serta Hari Qiamat dan akhirat
itupun benar semuanya. Sepeninggalan mereka, orang lalu bentengkar cara
bagaimana pemuda-pemuda suci itu dapat diperingati. Ada yang mengusulkan
agar di atas kubur mereka itu didirikan sebuah tugu besar, rumah dan gedung
yang dapat menunjukkan kebesaran mereka itu. Tetapi ada juga satu golongan
dari orang-orang yang cinta terhadap pemuda-pemuda itu berkata, agar jangan
tugu yang didirikan tetapi dirikanlah masjid di atas gua mereka itu, supaya
dari dalam masjid itu dapat orang sama sama menyembah dan membesarkan nama
Allah dan selalu insaf akan kebesaran Allah. Sebab apa ertinya sesuatu
peringatan dan penghormatan, bila peringatan dan penghormatan itu tidak
dapat membawa orang kepada menghormati dan membesarkan Allah, Tuhan yang
Maha Terhormat dan Maha Kuasa.*
--------------------------------------------------------------------------------
Orang ramai selalu bertengkar tentang
jumlah mereka itu. Ada yang berkata bahawa mereka itu tiga orang, empat
dengan anjingnya. Ada yang mengatakan lima orang, enam dengan anjingnya dan
ada pula yang mengatakan tujuh orang, lapan dengan anjingnya.
|